12 tanda awal kehamilan yang perlu anda tahu | Setiap pasangan yang berkahwin, perkara yang
paling dinanti-nantikan adalah kehadiran cahaya mata. Sudah semestinya si
isteri berdebar-debar untuk detik itu. Mesti tertanya-tanya, adakah aku hamil?
Macam mana nak tahu hamil ke tidak?
Jadi, untuk menjawab persoalan yang sentiasa bermain diminda, disini Atul
kongsikan beberapa tanda-tanda kehamilan yang perlu diketahui. Cuba perhatikan
perubahan-perubahan yang berlaku pada diri anda. Sekiranya anda mempunyai
tanda-tanda dibawah ini, bolehlah membuat ujian kehamilan untuk mendapatkan
kebenarannya.
Tanda-tanda awal kehamilan yang perlu diketahui
1. Tidak datang haid (menstruasi)
Jika anda sedang hamil, anda tidak akan dating haid lagi. Ini kerana dinding
rahim anda sedang bersiap sedia untuk proses kehamilan. Amat penting untuk anda
mengetahui hari pertama haid anda yang terakhir. Ia untuk menentukan usia
kandungan anda dan perkiraan tarikh bersalin. Perlu diingatkan bahawa tidak
dating haid mungkin disebabkan oleh perkara lain juga.
2. Pendarahan ringan dan kekejangan perut
Jika anda mengalami pendarahan ringan (tompok-tompok), berkemungkinan anda
hamil diperingkat awal. Apabila persenyawaan telah berjaya, janin akan
dibenamkan ke dalam dinding rahim bagi mendapatkan nutrien sepanjang tempoh
kehamilan. Proses tersebut menyebabkan pendarahan ringan berlaku. Keadaan ni
selalunya disertai dengan rasa kejang di perut.
3. Mengidam
Salah satu tanda kehamilan yang sering berlaku adalah keinginan terhadap
sesuatu, atau mengidam. Mengidam merupakan perkara biasa yang berlaku kepada
ibu yang sedang mengandung. Ia disebabkan oleh perubahan hormon yang berlaku
dalam tubuh ibu dan menyebabkan anda mengidam. Gejala ini selalunya terjadi
pada aawal kehamilan, tetapi ada juga yang mengidam sampai waktu kelahiran
4. Mabuk hamil dan kurang selera makan
Sesetegah wanita akan berasa mual, loya, alahan atau muntah. Ini merupakan
tanda-tanda awal kehamilan. Keadaan ini selalunya dikenali sebagai mabuk hamil.
Ini kerana berlaku perubahan hormon di dalam badan. Ia juga turut dikenali
sebagai ‘morning sickness’ kerana selalu terjadi pada waktu pagi. Tetapi,
adakalanya ia berlaku sepanjang hari dan dalam tempoh yang lama. Pastikan anda
minum air secukupnya. Tetapi sekiranya anda masih lagi muntah setelah minum
atau makan, dinasihatkan supaya berjumpa dengan doktor untuk dapatkan rawatan
yang sesuai
5. Kerap membuang air kecil
Sekiranya anda hamil, salah satu tanda-tanda yang akan anda alami adalah kerap
membuang air kecil. Ia terjadi kerana pundi kencing anda telah ditekan oleh
rahim yang semakin membesar. Keadaan ini juga disebabkan kerja ginjal yang
berlebihan sehingga menyebabkan pundi kencing cepat penuh. Keadaan ini biasanya
akan berterusan sepanjang kehamilan. Satu nasihat buat anda adalah jangan tahan
kencing.
6. Kelesuan dan mudah rasa mengantuk
Kerap merasa lesu dan mudah rasa mengantuk merupakan tanda-tanda anda sedang
hamil. Keadaan ini berlaku kerana penghasilan hormon hCG akan mengawal atur
rembesan hormon progesteron. Ia bukan sahaja memainkan peranan penting ketika
hamil malah berperanan dalam mengawal atur kitaran tidur jaga individu.
Pastikan anda mendapat tidur yang cukup setiap hari.
7. Pening kepala
Terdapat pelbagai jenis perubahan fisiologi yang dialami oleh wanita semasa hamil.
Salah satu daripadanya adalah tekanan darah rendah. Hormon yang dirembeskan
boleh menyebabkan salur darah mengembang. Perkara ini menyumbang kepada
penurunan tekanan darah yang membuatkan anda pening. Kadang kala ada yang
pengsan.
8. Payudara
membesar dan warna areola menjadi gelap
Perubahan hormon boleh menyebabkan payudara anda mengalami perubahan.
Segelintir waita payudara akan bengkak namun ia akan beransur-ansur hilang
apabila badan anda sudah biasa dengan persekitaran hormon yang tinggi. Selain
itu, puting (areola) anda akan menjadi gelap dan ukur lilitnya akan bertambah.
Pastikan anda memakai baju dalam (bra) yang bersesuaian untuk mengurangkan
kesakitan.
9. Pedih ulu hati
Perubahan hormon sewaktu hamil boleh menyebabkan otot sfinkter (bukaan pada
hujung esofagus) mengendur. Perkara ini akan memudahkan pengaliran asid di
dalam perut untuk memasuki esofagus yang menyebabkan pedih ulu hati. Anda
dinasihatkan untuk makan dengan lebih kerap tetapi kuantiti yang kecil. Elakkan
baring selepas makan. Jika teruk, dapatkan nasihat doktor segera.
10. Sembelit dan kembung perut
Sama seperti simptom yang anda alami sebelum fasa pendarahan dalam kitaran
haid, sembelit dan kembung perut merupakan salah satu tanda diawal kehamilan. Semasa
anda hamil, perubahan hormon akan menyebabkan sistem penghadaman anda menjadi
perlahan. Ia boleh menyebabkan anda mengalami kembung perut dan sembelit. Banyakkan
mengambil makanan berserat bagi membantu melegakan simptom tersebut.
11. Suhu badan naik
Sekiranya anda berasa panas badan, dan suhu badan naik secara tiba-tiba,
berkemungkinan anda sedang hamil. Kenaikan suhu badan boleh berlaku ketika anda
mengalami ovulasi atau setelah persenyawaan berjaya. Namun begitu kenaikan suhu
badan ini sukar untuk mengenalpasti samada anda hamil atau tidak sehinggalah
anda membuat ujian kehamilan untuk mengesahkannya
12. Rasa
berdebar-debar
Selain daripada mempunyai kaitan dengan penyakit kardiovaskular, rasa berdebar-debar
juga merupakan salah satu tanda kehamilan di peringkat awal. Jumlah isipadu
darah anda akan bertambah bagi menampung keperluan janin. Ini akan menyebabkan
jantung anda berdegup 25% lebih laju berbanding dengan keadaan biasa. Jika anda
mempunyai sejarah penyakit jantung, amat penting untuk anda berjumpa dengan
doktor bagi mendapatkan nasihat dan pemeriksaan fizikal.
Perlu diingatkan
bahawa tanda-tanda awal kehamilan pada setiap wanita adalah berbeza. 12 tanda
kehamilan yang Atul kongsikan diatas adalah antara tanda-tanda yang seringkali
berlaku pada ibu-ibu hamil. Ada yang mengalami hanya 1 tanda, ada yang banyak,
dan juga yang tidak sedar mereka sedang hamil. Apa-apapun, semoga perkongsian
tanda-tanda awal kehamilan ini dapat membantu anda mengenalpasti dan lebih bersedia untuk menghadapi proses
kehamilan. Akhir nasihat Atul, sekiranya anda mengalami tanda-tanda diatas,
buatlah pemeriksaan samada sendiri dengan menggunakan "urine pregnancy test (UPT)" atau di klinik
kesihatan yang berdekatan.
Baca juga:
Vitamin untuk ibu hamil
Mitos dan fakta tentang vitamin ibu hamil
Diet ketika hamil
Atul Hamid,
Ibu anak 2