Puasa sunat: Erti, niat dan kelebihan

Atul Hamid
1


Melaksanakan ibadah puasa sangat dituntut dalam Islam. Puasa bukan sahaja menyemai rasa syukur dan rendah diri kepada Allah, tetapi sangat bagus untuk kesihatan tubuh badan. Terdapat empat jenis puasa seperti wajib, sunat, makhruh dan haram. Namun untuk entri kali ini, Atul hanya fokus kepada puasa sunat sahaja.


Puasa sunat: erti, niat dan kelebihan

Pengertian puasa sunat

Puasa sunat merupakan salah satu ibadah yang selalu dilakukan oleh umat Islam untuk mempertingkatkan iman serta menjadi medium mengumpul pahala. Puasa sunat juga dilakukan mulai dari terbit matahari sehinggalah terbenam matahari.

 

Senarai puasa sunat

Terdapat pelbagai jenis puasa sunat yang umat islam boleh lakukan dan ia sangat digalakkan dalam Islam. Antara puasa-puasa sunat tersebut adalah:

Puasa sunat enam Syawal

Puasa enam hanya dilakukan selama 6 hari di bulan Syawal sahaja. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Ayub RA, Rasulullah SAW bersabda dan maksudnya:


“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat Muslim)


Puasa enam adalah amalan sunat dan amalan yang afdhal dilaksanakan secara berturut-turut dari hari kedua Syawal hingga 30 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari raya Aidil Fitri dan dilarang untuk berpuasa.


Lafaz niat puasa enam Syawal

Puasa sunat

 

نويت صوم غدعن ستة من شوال سنة لله تعالي

Nawaitu Shouma ghodin 'an sittati min syawallin Sunatti Lillahi Ta'ala

Sahaja aku puasa esok dari enam hari dibulan Syawal, sunat kerana Allah Ta'ala


Puasa sunat hari Arafah

Puasa ini dilaksanakan pada 9 Dzulhijjah (bagi yang tidak menunaikan Haji)

Puasa Arafah adalah puasa sunat di hari Arafah iaitu hari kesembilan dalam bulan Dzulhijjah. Ia dilakukan sehari sebelum kita menyambut hari raya Aildiladha. Puasa ini sangat digalakkan untuk umat Islam yang tidak pergi haji seperti mana yang terdapat dalam riwayat dari Rasulullah S.A.W tentang puasa Arafah.


Dari Abu Qatadah Al-Anshairy berkata "Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pernah ditanya tentang keutamaan puasa pada hari Arafah". Maka baginda menjawab “Menghapuskan kesalahan tahun yang lalu dan sesudahnya” (HR.Muslim no.1162)


Kelebihan berpuasa Sunat Arafah dapat menghasilkan ganjaran pahala yang sangat besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:


“Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya.” (Hadis Riwayat Muslim).


Sepertimana sabda Rasulullah SAW: “Orang yang berpuasa pada Hari Arafah (9 Dzulhijjah), Allah akan menuliskan baginya puasa 60 tahun dan Allah menuliskannya sebagai orang yang taat.”


Rasulullah SAW bersabda lagi: “Tiada hari yang paling ramai Allah SWT melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang dikehendaki oleh mereka?”

 

Lafaz niat puasa  Arafah

Puasa Sunat


 نويت صوم غد من يوم العرفه سنة لله تعالي

Nawaitu Shouma ghodin min yaumal arafah sunnatan lillahi ta'ala

Sahaja aku berpuasa hari Arafah sunat kerana Allah Ta'ala


Puasa Sunat Tarwiyah

Puasa ini dilakukan pada 8 Zulhijjah iaitu sehari sebelum Hari Arafah. Hari Tarwiyah ini tidaklah dikhususkan amalannya untuk berpuasa tetapi ia digalakkan untuk berpuasa berdasarkan hadis yang bermaksud:


“Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh Allah daripada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah).” Mereka berkata: Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan Allah? Baginda SAW berkata: “Tidak juga berjihad di jalan Allah melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun.” (Riwayat Abu Daud)


Lafaz niat puasa Tarwiyah

Puasa Sunat

نويت صوم ترويه سنة لله تعا لي

Nawaitu Shouman Tarwiyata sunnatan lillahi ta'ala

Sahaja aku berpuasa Tarwiyah, sunat kerana Allah Ta'ala


Puasa Sunat hari Isnin dan Khamis

Puasa sunat yang dilakukan setiap hari Isnin dan hari Khamis.


Dalam riwayat Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: "Diangkat amalan seseorang pada Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa" (Hadis Tarmizi)


Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai puasa pada hari Isnin. Lalu Baginda pun bersabda: 


“Hari Isnin merupakan hari kelahiranku, hari aku dilantik menjadi Rasul dan juga Allah menurunkan Al-Quran kepadaku.” (Hadis Riwayat Muslim) 


Diriwayatkan dari ‘Aisyah RA menceritakan bahawa: “Adalah Rasulullah SAW amat menjaga puasa pada hari Isnin dan Khamis.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

 

Lafaz niat puasa hari Isnin

Puasa Sunat


نويت صوم يو الاثنين سنة لله تعالي

Nawaitu Shouma Yaumal Isnaini sunnatan lillahi ta'ala

Sahaja aku berpuasa hari Isnin sunat kerana Allah Ta'ala


Lafaz niat puasa hari Khamis

Puasa sunat

 نويت صوم يو الخميس سنة لله تعالي

Nawaitu Shouma Yaumal khomisi sunnatan lillahi ta'ala

Sahaja aku berpuasa hari Khamis sunat kerana Allah Ta'ala


Puasa Sunat hari Asyura dan Tasu’a


Puasa Sunnah 10 Muharram & Satu hari Sebelum atau Sesudahnya

Puasa Asyura ini dilakukan pada hari kesepuluh dalam bulan Muharram dan lebih baik jika ditambah pada hari kesembilan atau hari kesebelas iaitu Hari Tasu'a

Tasu’a adalah berasal daripada perkataan “tis’a” yang bermaksud sembilan. Oleh itu, puasa sunat ini dilakukan pada setiap 9 Muharram dalam kalendar Hijrah. Seterusnya puasa ‘Asyura pula adalah pada 10 Muharram.


Pada hari tersebut juga digalakkan untuk berpuasa berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Qatadah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: yang bermaksud:


“Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.” (Hadis Riwayat Ibn Majah) Kebanyakan orang yang berpuasa Tasu’a adalah untuk melengkapi puasa Asyura pada keesokan harinya.


Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas RA beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda; yang bermaksud:


“Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)


Lafaz niat puasa hari Asyura

Puasa Sunat

 نويت صوم غد عن أداء سنة عا شوراء لله تعالي

Nawaitu Shouma Ghodin An'ada'i sunnati Asyaro lillahi ta'ala

Sahaja aku puasa sunat Asyura esok hari kerana Allah Ta'ala


Lafaz niat puasa hari Tasu’a

Puasa sunat

نويت صوم غدعن أداء سنة التسوعاء لله تعالي

Nawaitu Shouma Ghodin An'ada'i sunnati Tasu'a lillahi ta'ala

Sahaja aku puasa sunat Tasu'a esok hari kerana Allah Ta'ala


Puasa Pertengahan Bulan Hijriyah (13,14,15) atau dikenali sebagai puasa hari putih

Kita disunnahkan berpuasa dalam sebulan minimal tiga kali. Dan yang lebih utama adalah melakukan puasa pada ayyamul bidh, yaitu pada hari ke-13, 14, dan 15 dari bulan Hijriyah (Qomariyah). Puasa tersebut disebut ayyamul bidh (hari putih) kerana pada malam-malam tersebut bersinar bulan purnama dengan sinar rembulannya yang putih. Sebab itu puasa ini juga dikenali sebagai puasa hari putih.

Dari Ibnu Milhan Al Qoisiy, dari ayahnya, ia berkata,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ ثَلاَثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ . وَقَالَ هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ


"Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa memerintahkan pada kami untuk berpuasa pada ayyamul bidh yaitu 13, 14 dan 15 (dari bulan Hijriyah).” Dan beliau bersabda, “Puasa ayyamul bidh itu seperti puasa setahun.” (HR. Abu Daud no. 2449 dan An Nasai no. 2434. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini shahih)


Rasulullah SAW bersabda: “Puasa pada 3 hari setiap bulannya adalah seperti puasa sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat Bukhari, no 1979)


“Puasalah 3 hari dari setiap bulan. Sesungguhnya amal kebaikan itu ganjarannya seperti 10 kali ganda, sehingga ia seperti puasa sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat Bukhari, no 1976)


Namun dikecualikan berpuasa pada tanggal 13 Dzulhijjah (iaitu pada hari Tasyriq). Ini kerana berpuasa pada hari tersebut adalah diharamkan.


Lafaz niat puasa hari putih

Puasa Sunat

نويت صوم غد ايام البيض سنة لله تعالي

Nawaitu shouma ghadin ayyamal bidhi sunnatan lillahi ta'ala

Sahaja aku puasa hari putih sunat kerana Allah Ta'ala


Puasa sunat Nisfu Syaaban

Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:


يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ


Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]


Nisfu Syaaban ini bererti pertengahan bulan Islam, bulan Syaaban. Nisfu = pertengahan/tengah-tengah. Yang dikatakan malam Nisfu Syaaban ialah pada malam ini. Apa istimewanya malam Nisfu Syaaban ni? Malam Nisfu Syaaban adalah malam tutupnya semua amal kita. Malam di mana buku amalan kita ditutup selama setahun. Banyak amalan yang dianjurkan pada malam Nisfu Syaaban ni, antaranya:

👉 solat sunat Nisfu selepas solat Maghrib

👉 baca Yasin 3kali, dengan niat tertentu

👉 wirid zikir - hasbunallah wa nikmal wakillu nikmal maulaa wa nikmannasirr sebanyak 70 kali

👉 puasa pada esoknya iaitu 15 Sya'aban

 

Lafaz niat puasa Nisfu Sya'aban

Puasa sunat

 نويت صوم شهر شعبان سنة لله تعالي

Nawaitu Shouma Syahri Sya'aban Sunnatan lillahi ta'ala

Sahaja aku puasa bulan Sya'aban sunat kerana Allah Ta'ala


Kelebihan puasa sunat

Ibadat puasa adalah amalan yang selalu diamalkan oleh para Nabi, sahabat, dan orang-orang soleh. Banyak kelebihan dan fadilat amalan sunat yang akan diperoleh jika melakukan. Namun tidak berdosa jika tidak dilakukan.


Antara kelebihan puasa sunat adalah:

👉 Puasa bukan sahaja mendidik umat Islam menahan diri daripada makan dan minum tetapi turut menahan diri mereka daripada melakukan perbuatan mungkar seperti menipu, bertengkar, mengeluarkan kata-kata buruk dan sia-sia.

👉 Berpuasa bantu diri menahan dari amarah.

👉 Puasa juga dapat memberikan kesan positif kepada kesihatan psikologi dan fizikal seperti;

👉 Membantu kita menurunkan berat badan

👉 Membantu sistem pencernaan untuk penghadaman lebih sempurna dengan memberi kerehatan kepada sistem pencernaan ketika berpuasa.

👉 Membantu mengawal tekanan atau stres dengan memberi ketenangan psikologi dan bersabar.

👉 Membantu meningkatkan sistem imun tubuh

👉 Membantu memupuk kesabaran, kejujuran serta sikap bertolak ansur


Okay, disini Atul kongsikan resipi ayam masak halia, boleh buat sebagai menu berbuka puasa

 

Penutup

Jelas sekali kelebihan yang akan diperoleh sekiranya kita berpuasa. Tidak kira dari segi pengambilan makanan atau latihan kerohanian, dengan berpuasa akan memberi manfaat kepada seluruh kehidupan kita.


Memperbanyakkan ibadat sunat adalah perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Di dalam kitab Hadis 40 karangan Imam an-Nawawi, ada direkodkan hadis berkenaan perkara ini. Hadis yang menganjurkan untuk melakukan dan memperbanyakkan amalan sunat.


Hadis tersebut telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA di mana Rasulullah SAW bersabda dalam hadis kudsi, Allah SWT berfirman yang bermaksud:


Aku paling suka apabila hamba-Ku mendekati-Ku dengan apa yang Aku telah fardukan ke atasnya dan hamba-Ku mash mendekati-Ku dengan pelbagai amalan sunat hingga Aku mencintainya. (Riwayat al-Bukhari)


Kelebihan dan fadilat amalan sunat yang terdapat dalam hadis Nabi Muhammad SAW tersebut adalah bersifat umum dan tidak khusus pada satu jenis ibadat sahaja.


Namun, seperti yang selalu diperkatakan oleh para ulama, ibadat puasa mempunyai kedudukan yang sangat istimewa. Jadi amatlah digalakkan untuk melaksanakan selagi termampu.


Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan panduan buat anda yang hendak melaksanakan puasa sunat yang digalakkan dalam Islam.


Post a Comment

1Comments

Terima kasih sudi singgah, baca dan komen di blog Atul ;)

Post a Comment

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !