Doa lepas solat Dhuha rumi dan kelebihannya

Atul Hamid
0

Berdoa lepas solat adalah amalan yang sangat dianjurkan dalam agama Islam. Amalan ini memiliki nilai yang mendalam dan memberi satu kenikmatan kepada individu yang melakukannya. Ini kerana ketika berdoalah kita dapat meluah dan mengadu apa yang kita rasa kepada Allah swt. Selain itu, ketika berdoa lepas solat, kita juga boleh meminta apa sahaja yang kita mahu daripada Allah swt dengan bersungguh-sungguh. Walaupun boleh berdoa pada bila-bila masa, tetapi lain rasanya bila berdoa selepas solat. Ini kerana selepas solat, kita berdoa dalam keadaan berwudhuk.


Entri kali ini, Atul ingin kongsikan bacaan doa lepas solat Dhuha dalam rumi dan jawi, terjemahan serta kelebihan mendirikan solat Dhuha. Namun, sebelum itu, Atul juga sertakan serba sedikit info menarik tentang solat Dhuha yang wajib kita ketahui.

 

Pengenalan

 

Solat sunat Dhuha merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut untuk dilakukan oleh orang Islam. Selain Dhuha, ia juga dikenali sebagai solat al-Awwabin dan waktunya bermula setelah terbitnya matahari.

 

Ini berdasarkan hadis


صَلَاةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمِضُ الفِصَالُ

Maksudnya:

Solat Awwabin ialah solat yang dilakukan ketika pasir (di tanah lapang) menjadi panas (kerana matahari sudah terik).


Nabi Muhammad SAW juga telah mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA agar tidak meninggalkan solat Dhuha ini:

 

أَوْصَانِيْ خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ:

 صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

 

Maksudnya:

“Kekasihku (Muhammad SAW) mengingatkan akan daku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat Witir sebelum tidur.” [Riwayat al-Bukhari (1880) dan Muslim (721)]

 

Maksud Dhuha

 

“Dhuha” (الضحى‎) bermaksud “Waktu Pagi” atau “Cahaya Pagi”. Oleh itu, Solat Sunat Dhuha adalah solat sunat yang dilakukan pada waktu pagi.

 

Tempoh waktu solat Dhuha

 

Tempoh waktu Solat Dhuha adalah solat sunat yang dilakukan setelah naik matahari pada waktu pagi, kira-kira matahari sedang naik setinggi 7 hasta dari bumi iaitu lebih kurang pukul 8 pagi. Dan tempoh tamat waktu Dhuha adalah 10 minit sebelum masuk waktu Zohor.

 

Hukum solat Dhuha

 

Hukum solat Dhuha adalah sunat. Ini bermakna ia tidak wajib dilakukan tetapi jika melakukannya akan dapat ganjaran pahala dan kelebihnya seperti rezeki yang tidak sangka-sangka.

 

Jumlah rakaat solat Dhuha

 

Jumalah solat sunat Dhuha boleh dilakukan sekurang-kurangnya dua rakaat, dan boleh juga dilakukan 4 rakaat, 6 rakaat, 8 rakaat dan maksima adalah 12 rakaat.


Seperti tertulis berdasarkan hadis dibawah;

“Daripada Ibn Umar r.a., katanya, ‘Aku berkata kepada Abu Dzar, Hai, pakcik, berikan nasihat kepada saya’. Jawabnya, ‘Pertanyaanmu itu sama seperti pertanyaanku kepada Rasulullah SAW’. Lalu Banginda menjawab (maksudnya): ‘Jika anda laksanakan solat dhuha dua rakaat nescaya anda tidak akan ditulis di kalangan orang yang lalai. Jika anda laksanakan solat dhuha empat rakaat, nescaya anda ditulis di kalangan Abidin, jika anda laksanakan solat dhuha enam rakaat nescaya anda tidak diikuti dengan dosa dan jika anda laksanakan solat dhuha lapan rakaat nescaya anda ditulis di kalangan Qanitin (sentiasa berdiri untuk beribadat). Manakala seandainya anda laksanakan solat dhuha 12 rakaat nescaya dibinakan untuk anda istana di dalam syurga. Setiap tempoh masa, baik siang, malam, atau saat-saat tertentu Allah sentiasa menghulurkan sedekah kurniaNya kepada mana-mana orang yang dikehendakiNya. Tiada kurnia lain yang sering disebut-sebut oleh Allah terhadap hambaNya, kerana kurniaan amalan zikir (yang berterusan) kepada Allah yang dilakukan olehNya’.” (Riwayat al-Bazzar)

 

Doa lepas solat Dhuha

 

Setiap kali lepas solat, kita digalakkan untuk berdoa. Termasuk juga jika melakukan solat Dhuha.


Menurut bekas Menteri Agama merangkap bekas Mufti WP, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, sebenarnya tidak ada satu doa khusus yang diajarkan oleh Nabi SAW untuk solat sunat Dhuha. Namun begitu, terdapat beberapa doa yang masyhur, yang diajarkan oleh para ulama’ untuk diamalkan lepas solat sunat Dhuha.

 

Antaranya ialah:

 

Doa lepas solat Dhuha 1

 

Dari ‘Aisyah RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW selesai solat sunat Dhuha, baginda mengucapkan,

 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، وَتُبْ عَلَيَّ، إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ

 

“Allohumaghfir-Li Wa Tub 'Alayya, Innaka Antat Tawwabur Rohim”

 

Maksudnya:

“Ya Allah, ampunilah aku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang” - (Diriwayatkan Baginda SAW membacanya seratus kali.) dan (HR. Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, no. 619. Syaikh Al-Albani mengatakan bahwa hadis ini sanadnya sahih.)

 

Bacaan yang lebih lengkap adalah bagi doa ini adalah seperti berikut:

 

رَبِّي اغْفِرْلِي وَتُبْ عَلَيَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَابُ الرَّحِيْم

اَللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَصْبَحْتُ عَبْدَك وَعَهْدَك وَوَعْدَك أَنْتَ خَلَقْتَنِيْ وَلَمْ أَكُ شَيْئًا أَسْتَغْفِرُكَ لِذَنْبِيْ فَإِنَّهُ قَدْ أَرْهَقَتْنِيْ ذُنُوْبِي وَأَحَاطَتْ بِيْ إِلاَّ أَنْ تَغْفِرَهَا لِيْ فَاغْفِرْهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

 

Maksudnya:

 

“Ya Tuhanku ampunkan dosaku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

Ya Allah bagi-Mu segala pujian, aku di waktu pagi sebagai hamba-Mu dan atas perjanjian dengan-Mu dan apa yang Kamu janjikan, Kamu menciptakanku dan tiadalah aku sesuatu, aku beristighfar kepada-Mu dari segala dosaku kerana sesungguhnya ia telah membelenggu dosa-dosaku dan meliputiku kecuali Engkau mengampuninya, maka ampunkanlahnya hai Tuhan yang bersifat Maha Rahmat dan Kasih Sayang.”


Selain doa di atas, terdapat satu lagi doa yang masyhur iaitu:

 

Doa lepas solat Dhuha 2




Doa solat Dhuha jawi

 

اَللَّهُمَّ إِنَّ الضَّحَاءَ ضَحَاءُكَ، وَالْبَهَاءَ بَهَاءُكَ، وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ، وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ، وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ، وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ،

اَللَّهُمَّ إِنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّمَاءِ فَأَنْزِلْهُ، وَإِنْ كَانَ فِيْ الأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ، وَإِنْ كَانَ مُعَسِّرًا فَيَسِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ بَعِيْداً فَقَرِّبْهُ

بِحَقِّ ضُحُائِكَ وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ آتِنِي مَا آتَيْتُ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَآلِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

 

Doa solat Dhuha rumi

 

Allahumma innadh Dhuha~a Dhuha~uka,
Wal bahaa~a bahaa~uka
Wal jamaala jamaaluka
Wal quwwata quwwatuka
Wal qudrata qudratuka
Wal ishmata ishmatuka
Allahhuma inkaana rizqi fis samma-i fa anzilhu
Wa inkaana fil ardhi fa~akhrijhu
Wa inkaana mu’asaran fayassirhu
Wainkaana haraaman fathahhirhu
Wa inkaana Ba’idan fa qaribhu
Bihaqqiduhaa~ika wa bahaaika
Wa jamalika wa quwwatika waqudratika
Aatini maa ataita ‘ibaadakash shalihin

 

Terjemahan doa solat Dhuha

 

Ya Allah sesungguhnya waktu dhuha itu dhuhaMu,
kecantikan-Nya kecantikan-Mu, keindahan-Nya keindahan-Mu,
kekuatan-Nya kekuatan-Mu, kekuasaan-Nya kekuasaan-Mu
dan perlindungan-Nya perlindungan-Mu.
Ya Allah jika rezeki masih dilangit, turunkanlah
jika rezeki dibumi, keluarkanlah, jika sukar permudahkanlah,
jika haram sucikanlah. jika jauh dekatkanlah.
Berkat waktu dhuha, kecantikan-Mu, keindahan-Mu, kekuatan-Mu
dan kekuasaan-Mu, limpahkanlah kepada ku segala yang telah
Engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

 

Kelebihan solat Dhuha

 

Dhuha adalah waktu yang tercatat di dalam al-Quran. Istimewanya waktu ini sehinggakan Allah bersumpah dengannya di dalam surah Ad-Dhuha : “Demi waktu Dhuha”. Pernahkah kita terfikir kenapa Allah bersumpah dengan waktu Dhuha? Kenapa tidak dengan waktu-waktu yang lain? Imam Ar-Razi berkata andai Allah bersumpah dengan sesuatu, maka ia menunjukkan perkara itu adalah sangat penting.


Dhuha bermaksud ‘pagi hari’ atau ‘panas sinar hari’. Waktu inilah manusia-manusia semua berkejar-kejaran keluar untuk mencari rezeki. Namun disebalik waktu ini Allah sebenarnya menyaran untuk meninggalkan ‘kejar-kejaran’ itu dan menunaikan solat sunat Dhuha. Ini kerana terlalu banyak ganjaran kita bakal peroleh jika mengamalkannya. Berikut adalah antara ‘hadiah-hadiah’ yang dijanjikan Allah kepada sesiapa yang jatuh cinta dengan solat Dhuha.

 

1. Disukai Allah SWT

 

Allah sangat menyukai golongan hambaNya yang mengerjakan solat dhuha, walaupun hanya melaksanakan dua rakaat sahaja tetapi ia adalah ibadah yang membuatkan pelakunya sentiasa disayangi oleh Allah SWT.

 

“Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT adalah yang berterusan dilakukan oleh pelakunya walaupun ia sedikit.” - (Hadis Riwayat Muslim)

 

2. Sebagai Sedekah tanpa kita sedari

 

Daripada Abi Zar r.a, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

 

“Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (Subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (Allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat dhuha.” - (Hadis Riwayat Muslim)

 


Ini bermakna, setiap  pergerakan dan bacaan dalam solat dhuha dianggap sebagai sedekah. Dengan melakukan solat sunat Dhuha waima dua rakaat sahaja kita sudah dapat pahala bersedekah. MasyaAllah hebat kasih sayang Allah berikan kepada kita yang mengamalkannya.

Baca: Sedekah Subuh

 

3. Diampunkan Kesalahan dan Dosa

 

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

 

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang dhuhaNya, nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.”

 

(Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

 

Pintu taubat sentiasa terbuka untuk hamba Allah yang hendak bertaubat dan menyucikan dosa. Sebanyak mana dosa yang kita lakukan, samada dosa kecil mahupun dosa besar pintu keampunan Allah tidak pernah tertutup. Termasuk juga dosa-dosa terdahulu. Solat Dhuha adalah antara pintu keampunan yang disediakan oleh Allah swt.

 

 

4. Disiapkan Rumah di Syurga

 

Rasulullah S.A.W memberi motivasi kepada orang yang rajin memperuntukkan sedikit waktu paginya untuk Solat Dhuha dengan sabda baginda, “Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan dibangunkan sebuah rumah di syurga.”  - (Sahih al-Jami’: 634)

 


Beruntunglah sesiapa yang melazimi harinya dengan mendirikan solat ini, kerana Allah SWT  telah berjanji untuk mendirikan sebuah rumah untuknya di syurga nanti.

 

5. Dicukupkan rezeki setiap hari

 

Allah S.W.T menjamin rezeki yang cukup kepada hambanya yang mempunyai masa untuk solat Dhuha. Diriwayatkan daripada Nu‘aim bin Hammar bahawa ia berkata, 

 

“Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepada-Ku dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.”

 

(Hadis Riwayat Abu Dawud)

 

Seperti yang sering kita dengar, jika hendak dicukupkan rezeki setiap hari, lazimi solat sunat Dhuha, nescaya rezeki akan sentiasa cukup dan tidak disangka-sangka dari pelbagai sudut termasuk diri sendiri, anak-anak, keluarga dan sebagainya dari Allah swt.

 

6. Mendapat keuntungan yang besar

 

Atau dalam bahasa Arabnya disebut Ghanimah. Dikisahkan bahawa Rasulullah S.A.W mengutus tentera Islam berperang melawan musuh Allah. Dengan izin Allah, tentera Islam menang dan  mendapat harta rampasan yang banyak. Orang ramai bercerita singkatnya peperangan itu dan banyaknya harta rampasan perang yang diperoleh. Kemudian Rasulullah S.A.W menjelaskan bahawa ada yang lebih utama dan lebih mudah memperoleh kemenangan dan harta rampasan yang banyak iaitu solat Dhuha.

 

Rasulullah SAW bersabda;

 

“Barangsiapa yang berwudhuk, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat dhuha, dialah yang paling dekat tujuannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya.” - (Sahih al-Targhib : 666)

 

Betapa hebatnya kasih sayang Allah, dengan mengamalkan solat Dhuha, Allah memberikan keuntungan yang besar bukan dari harta semata-mata tetapi dari pelbagai sudut, contoh seperti kesihatan

 

7. Mendapat pahala seperti menunaikan Umrah

 

Daripada Abu Umamah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda,

 

“Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.” - (Sahih al-Targhib: 673)

 


Ganjaran ini sangat istimewa apabila Allah SWT menganugerahkan kepada hambanya yang sentiasa mengerjakan amalan solat sunat Dhuha dengan ganjaran pahala seperti mengerjakan umrah di tanah suci.

 

8. Urusan menjadi lebih mudah

 

Dengan mengamalkan solat sunat Dhuha kita dapat rasai bahawa urusan kita menjadi semkin mudah. Itulah antara fadhilat yang Allah SWT berikan kepada hambanya yang melaksanakan amalan solat Dhuha. Seperti tertera dalam hadits dari Nu’aim bin Hammar Al-Ghothofaniy, beliau mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

 

“Allah Ta’ala berfirman: Wahai anak Adam, janganlah engkau tinggalkan empat raka’at shalat di awal siang (di waktu Dhuha). Maka itu akan mencukupimu di akhir siang.” (HR. Ahmad, 5:286; Abu Daud, no. 1289, Tirmidzi, no. 475; Ad-Darimi, no. 1451. Syaikh Al-Albani dan Syaikh Syu’aib Al-Arnauth mengatakan bahwa hadits ini shahih.)

 

 

9. Masuk syurga dari pintu istimewa

 

Golongan yang melazimi solat sunat Dhuha akan dapat masuk syurga melalui pintu khas iaitu pintu Dhuha. Ia menunjukkan golongan ini mendapat keistimewaan tersendiri yang tidak dimiliki oleh semua orang.

 

“Sesungguhnya dalam syurga, terdapat sebuah pintu bernama pintu Dhuha. Apabila kiamat telah tiba, maka akan ada suara yang berseru:”

 

“Dimanakah orang-orang yang semasa hidup di dunia selalu mengerjakan solat Dhuha? Ini adalah pintu buat kalian, masuklah dengan rahmat Allah SWT.” - (Hadis Riwayat at-Thabrani)

 

Kesimpulan

 

Selesai sahaja solat, samada solat fardhu ataupun solat sunat, kalau boleh jangan terus bangun dan berlalu pergi. Pastikan duduk sebentar dan berzikir serta amalkan doa lepas solat. Ini kerana kita disunatkan membaca doa selepas solat dan banyak faedah yang akan kita dapat sekiranya mengamalkannya. Seperti solat sunat Dhuha ini, walaupun cuma solat sunat, namun jika faham terjemahan doa ini, sangatlah hebat maksud yang tersirat didalamnya, ini keranasolat ini mempunyai keistimewaan dan ganjarannya sangatlah besar jika diamalkan. Jadi, semoga kita semua lebih melazimi amalan solat sunat Dhuha setiap hari. InsyaAllah


 

Sumber & rujukan
*Solat Sunat Pilihan 1, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri (Telaga Biru)
* Laman sesawang Mufti WP Al-Irsyad Hadith siri ke 223
* Laman sesawang Mufti WP Al-IKafi #1641

Post a Comment

0Comments

Terima kasih sudi singgah, baca dan komen di blog Atul ;)

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !