Senggugut adalah rasa sakit atau ketidakselesaan yang biasanya dialami oleh sesetengah wanita semasa atau sebelum haid di seluruh dunia. Artikel ini akan membahas makna senggugut, punca senggugut, cara mengurangkan senggugut, siapa yang selalu mengalami senggugut, dan risiko yang berkaitan dengan senggugut berlebihan.
Apakah itu senggugut?
Senggugut atau juga dikenali sebagai dismenorea bermaksud kesakitan yang dialami di bahagian bawah perut atau pelvis semasa datang haid. Senggugut atau kekejangan perut ketika haid adalah sejenis gangguan yang berlaku sehari atau dua hari sebelum datang haid serta mungkin boleh berterusan sepanjang haid. Ia terjadi akibat kontraksi rahim yang berlaku sebelum atau semasa kitaran haid itu berlangsung. Senggugut juga mungkin akan menyebabkan rasa sakit dan tidak selesa.
Pelvis adalah tempat di mana organ berikut berada iaitu rahim, ovari (kilang telur), dan saluran falopio, dan pundi kencing.
Siapa Selalu Kena Senggugut?
Senggugut boleh dialami oleh mana-mana wanita semasa haid, tetapi tahap kesakitan dan kekerapan senggugut berbeza-beza. Terdapat wanita yang mengalami senggugut yang sangat teruk dan mengganggu kehidupan seharian mereka, manakala yang lain hanya mengalami kesakitan ringan.
Jenis senggugut
Terdapat dua jenis senggugut iaitu senggugut primer dan senggugut sekunder
👉 Senggugut primer
Keadaan yang biasa dialami oleh remaja. Biasanya tidak berkait dengan penyakit tertentu. Senggugut primer biasanya dialami oleh remaja selepas 2 hingga 3 tahun selepas kedatangan haid untuk pertama kali. Tetapi keadaan akan bertambah teruk pada usia 15 hingga 25 tahun dan juga boleh berlaku dikalangan wanita yang masih subur. Biasanya tahap keterukan senggugut primer akan berkurangan apabila usia meningkat dan berhenti selepas melahirkan anak.
👉 Senggugut sekunder
Senggugut sekunder biasanya berlaku dikalangan wanita dewasa di mana senggugut berlaku sebagai sebahagian dari gejala penyakit tertentu. Tetapi sakitnya berpanjangan, bermula beberapa hari sebelum haid and bertambah teruk. Senggugut ini menjadi semakin teruk selepas beberapa tahun haid biasa. Antara gejala penyakit yag boleh menyebabkan berlakunya senggugut teruk adalah seperti Cyst Ovari dan tumor, fibroid rahim, radang pelvis, endometriosis, jangkitan panggul, kongenital atau masalah ginekologi lain.
Epidemiologi
Anggaran 60 hingga 75% wanita muda akan mengalami senggugut, kebanyakan dari mereka mengalami gejala ringan sementara 25% dari mereka akan mengalami tanda senggugut teruk sehingga mengganggu aktiviti seharian mereka.
Senggugut lebih kerap berlaku terhadap seseorang yang merokok, mereka yang akil baligh lebih awal dan mempunyai aliran darah haid yang banyak. Buat sesetengah wanita yang pernah atau baru lepas bersalin dan menggunakan pil perancang akan mendapati senggugut jarang berlaku kepada mereka.
Tanda- tanda senggugut
Setiap wanita akan mengalami tanda-tanda senggugut yang berbeza. Antara tanda-tanda senggugut adalah:
🌸 Rasa sakit di bahagian ari-ari (bawah pusat) bermula dalam jangka waktu 24 jam sebelum kedatangan haid dan berterusan sehingga 1 hingga 3 hari. Rasa sakit itu biasanya sederhana dan mengejang. Kadang-kadang boleh dirasai hingga ke bahagian belakang, pinggang, kejang kaki dan peha.
🌸 Haid yang tidak tetap
🌸 Kesakitan antara haid
🌸 Pendarahan bertambah banyak
🌸 Lelehan dari faraj
🌸 Kesakitan ketika melakukan seks
🌸 Sakit kepala, pening, letih dan sakit belakang
🌸 Loya dan muntah serta cirit-birit
Selalu kalau waktu datang senggugut mesti lapar kan? Nah resepi Maggi goreng, makan panas-panas sambil layan senggugut
Punca senggugut teruk berlaku
Punca senggugut boleh berbeza-beza untuk setiap wanita, tetapi beberapa faktor yang mungkin menyebabkan senggugut termasuk:
🌸 Kontraksi rahim yang kuat semasa haid.
🌸 Sengggugut berlaku disebabkan oleh ketidakseimbangan bahan kimia (prostaglandin) yang menyebabkan otot rahim dan saluran darah rehat (relaks) dan mengecut.
🌸 Prostaglandin dihasilkan oleh lapisan dinding dalam rahim yang dinamakan endometrium atas rangsangan hormon progestron yang di rembes selepas berlakunya proses ovulasi (pengeluaran telur)
🌸 Terdapat halangan pada serviks (cervical obstruction)
🌸 Hipoplasia rahim (uterine hypoplasia) ialah otot yang tidak sihat hingga menyebabkan darah haid tidak dapat dikeluarkan dengan baik seterusnya terkumpul di dalam rahim dan menyebabkan kesakitan
🌸 Toleransi yang rendah terhadap kesakitan (low pain threshold)
🌸 Iskemia otot rahim (ischaemia of urine muscle). Kekurangan bekalan darah pada otot rahim. Kekurangan darah yang berterusan akan menyebabkan kematian otot
🌸 Hipersensitiviti gentian saraf simpatik pada rahim (hypersensitivity of nerve fibre of the uterus)
🌸 Gumpalan darah haid hingga menyebabkan darah susah untuk dikeluarkan namun ada juga darah haid yang bergumpal dapat dikeluarkan tanpa rasa sakit.
🌸 Ketidakseimbangan hormon iaitu Hormon progesterone yang berlebihan akan menyebabkan dinding rahim menebal dan pengeluaran darah haid menjadi sukar
🌸 Gangguan psikologi atau tekanan emosi
🌸 Merokok akan menggalakkan penghasilan prostaglandin di dalam rahim dan menyebabkan kesakitan
🌸 Faktor genetik dan keturunan
🌸 Kegemukan atau obesiti
Cara Mengurangkan Senggugut
Bagi wanita yang mengalami senggugut yang tidak tertahan, terdapat beberapa cara untuk mengurangkan kesakitan. Ini termasuk:
🌸 Pengambilan Ubat:
Mengambil ubat-ubatan anti-radang atau penahan sakit boleh membantu mengurangkan gejala senggugut dan kesakitan. Perbincangan dengan pakar perubatan adalah penting sebelum mengambil ubat.
🌸 Pemanasan
Meletakkan botol air panas atau beg pemanas di bahagian perut bawah atau mengambil mandian panas boleh memberikan kelegaan dan bantu meredakan ketidakselesaan.
🌸 Senaman
Melakukan senaman secara berkala boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan senggugut.
🌸 Makan Makanan Sihat
Diet yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran, dan makanan yang tinggi serat boleh membantu mengurangkan kesakitan.
🌸 Pemakanan Sihat
Makan makanan yang kaya dengan serat, kalsium, dan nutrien lain dapat membantu mengurangkan keparahan senggugut.
🌸 Relaksasi dan Kaedah Mengurangkan Tekanan
Teknik pernafasan mendalam, yoga, atau meditasi boleh membantu mengurangkan ketegangan dan kesakitan.
🌸 Kaedah Kawalan Kelahiran
Mengambil pil perancang keluarga atau kaedah kawalan kelahiran lain boleh membantu mengurangkan gejala senggugut.
🌸 Rehat
Berehat secukupnya dan elakkan daripada aktiviti fizikal berat semasa haid.
Rawatan
🌸 Ubat anti-keradangan (Contoh: Mefanemic acid, Naproxen)
Sebanyak 80% perempuan yang mengalami senggugut boleh dikurangkan atau dihentikan dengan mengunakan ubat ini. Ia hendaklah dimakan sebaik sahaja sakit bermula atau pada permulaan haid.
🌸 Ubat tahan sakit. (Contoh: Paracetamol)
Digunakan sekiranya ubat pengurang radang tidak sesuai untuk dimakan disebabkan oleh kesan sampingan atau kontraindikasi penggunaan ubat. Ubat ini boleh digunakan bersama dengan ubat pengurang radang sekiranya sejenis ubat tidak mencukupi untuk mengurangkan kesakitan.
🌸 Pil perancang.
Ia biasanya digunakan untuk senggugut primer untuk:
☑ Mengurangkan dan memendekkan tempoh haid dengan menghindari ovulasi.
☑ Mengurangkan atau menghilangkan sakit senggugut dengan mengurangkan penghasilan prostaglandin di selaput rahim.
☑ Kegunaan lainnya sebagai ubat pencegah kehamilan.
🌸 Penggunaan Haba
Senggugut sering kali dialami untuk seketika sahaja. Kesakitan sementara ini dapat diredakan menggunakan haba dari botol yang berisikan air suam, atau pek panas yang boleh diletakkan pada bahagian bawah perut, atau dengan mandi air suam.
🌸 Mesin TENS (“Transcutaneous Electrical Nerve Stimulation”)
Boleh digunakan sekiranya tidak ingin menggunakan ubat. Mesin in menghasilkan pengaliran kuasa elektrik kecil yang menghindari tanda sakit dari saraf sakit dari disampaikan ke otak. Dengan ini sakit mungkin berkurangan.
🌸 Rawatan pakar
Jika semua di atas masih tidak dapat mengurangkan sakit, anda dinasihatkan untuk bertemu dengan doktor untuk rawatan yang selanjutnya
Kesimpulan
Jadi, sekarang anda telah memahami info tentang senggugut. Ingatlah bahawa senggugut dan wanita adalah perkara normal. Namun uniknya tidak semua wanita merasai kesakitan senggugut kerana hanya sesetengah wanita yang akan dapat senggugut. Selain itu, diingatkan bahawa setiap wanita akan mengalami tanda yang berbeza. Jadi apa yang berkesan untuk seseorang mungkin tidak berkesan untuk yang lain. Namun boleh ikhtiar untuk melegakannya. Jika anda mengalami senggugut yang teruk, pastikan dapat rawatan daripada doktor untuk mencari penyelesaian yang sesuai.
Terima kasih sudi singgah, baca dan komen di blog Atul ;)