Makan, minum dan bermain dengan gembira untuk
membina tulang. Ini adalah masa untuk bergembira.
Anda ceria, muda dan seronok melakukan apa yang
anda lakukan setiap hari.
Teruskannya! Ia baik untuk tulang anda!
Setiap kali anda keluar menari, berlari,
membeli-belah atau bermain bola sepak, anda sebenarnya sedang membina tulang.
Mempunyai tulang yang kuat adalah penting kerana
inilah masanya untuk anda mencapai jisim tulang yang maksimum.
Sambil anda membesar, tulang anda akan terus
mengumpul jisim tulang.
Jadi, semakin banyak jisim tulang yang anda
kumpul, semakin kuranglah risiko anda menghidapi osteoporosis di kemudian hari.
Tetapi bagi kebanyakan orang, jisim tulang
maksimum dibina sebaik mereka mencapai umur 30 tahun.
Boleh Patah
Osteoporosis adalah penyakit di mana anda
kehilangan jisim tulang dan meningkatkan risiko keretakan.
Ia biasanya terjadi kepada mereka yang berumur
lebih 50 tahun dan biasanya hanya dikesan selepas tulang mereka retak atau
patah.
Jika anda fikir tulang anda akan pulih semula
seperti sediakala seperti ketika anda jatuh basikal di zaman kanak-kanak, anda
salah.
Rawatan bagi osteoporosis biasanya merangkumi
melambatkan kemerosotan penyakit ini dan menghalang keretakan daripada berlaku
lagi.
Tetapi, pada masa yang sama, anda perlu hidup
dengan keretakan yang sedia ada.
Jika ada fikir bergerak dengan tangan atau kaki
yang disimen menyusahkan, cuba hidup dengan pinggul yang retak sepanjang hayat
anda. Pasti anda tidak mahu ini terjadi, bukan?
Jadi, penjagaan tulang adalah sangat penting dan
anda perlu terus berusaha mencapai jisim tulang maksimum dari sekarang.
Jika anda seorang yang aktif dan sedang
menikmati zaman muda anda, pastinya tiada masalah untuk anda mencapai matlamat
ini.
Membina Tulang Sihat
Dengan berjalan, berlari, berjoging atau
bersukan seperti bermain bola sepak dan badminton, anda sudah pun melakukan
senaman menahan berat yang paling efektif dalam pembinaan tulang.
Senaman menahan berat adalah mana-mana aktiviti
yang memaksa anda membawa berat badan sendiri dan meletakkan tekanan kepada
tulang yang akan merangsang pembentukannya.
Jadi, teruskan bergerak kerana ia akan
menguatkan tulang!
Pengambilan kalsium yang secukupnya juga
merupakan sebahagian daripada pembinaan tulang sihat.
Bagi mereka yang berumur antara 10 hingga 18
tahun, saranan pengambilan kalsium harian adalah 1,000 miligram (mg) manakala
800 mg pula disyorkan kepada mereka yang berumur antara 19 hingga 29 tahun.
Sumber kalsium yang terbaik adalah produk tenusu
seperti susu, yogurt dan keju.
Tetapi ini bukan satu-satunya pilihan untuk
anda. Terdapat pelbagai lagi makanan yang kaya dengan kalsium yang boleh anda
ambil jika anda tidak suka meminum susu.
Ibu anda ada sebab yang baik menyuruh anda
memakan sayur-sayuran.
Sayur-sayuran berwarna hijau gelap dan berdaun
adalah sumber kalsium yang baik. Secawan kai lan atau pak choy Cina akan
memberikan 100 mg kalsium manakala secawan brokoli pula memberi 40 mg.
Jadi, makanlah sayur-sayuran hijau seperti yang
disuruh ibu anda!
Anda juga boleh mendapatkan kalsium dari produk
soya seperti tofu, taufu fah dan tempe.
Satu lagi cara mendapatkan kalsium adalah dengan
mengambil ikan yang boleh dimakan tulangnya seperti ikan sardin dan ikan bilis,
tetapi awasi pengambilan natrium (sodium) anda juga. Garam yang terlalu banyak
boleh menjejaskan tulang.
Bagi yang sentiasa sibuk dan memilih makanan
sedia dimakan, anda boleh mengambil minuman yang diperkaya dengan kalsium
seperti jus oren, minuman yogurt, minuman bermalt atau biskut dan bijirin yang
kaya dengan kalsium.
Anda memerlukan vitamin D untuk membantu
penyerapan kalsium dengan lebih baik.
Badan anda menghasilkan Vitamin D apabila terdedah kepada cahaya matahari.
Badan anda menghasilkan Vitamin D apabila terdedah kepada cahaya matahari.
Melainkan anda jenis yang suka keluar malam,
asyik terperap di rumah atau obses dengan pelindung sinaran matahari, anda
biasanya sudah pun mendapat pendedahan kepada cahaya matahari yang mencukupi.
Hidup kini sungguh menarik buat anda. Anda
menerokai perkara baru, menikmati zaman muda dan kebebasan serta sedang
menikmati hidup.
Ini tidak bermakna anda perlu mengabaikan
penjagaan tulang.
Tetapi, tiada siapa yang menyuruh anda berhenti
melakukan aktiviti kegemaran anda.
Malah, ia digalakkan kerana ia baik untuk
tulang! Jadi nikmatilah hidup dan tulang yang sihat.
Gaya hidup tidak sihat
Kebanyakan remaja dan orang muda kini terlalu
obses dengan berat badan mereka sehingga mengamalkan tabiat makan yang
merbahaya.
Anorexia nervosa adalah masalah pemakanan di
mana anda makan terlalu sedikit demi mengurangkan berat badan.
Bulimia nervosa pula adalah penyakit di mana
seseorang makan mengikut nafsu tetapi kemudian memuntahkan semula makanan yang
baru saja diambil.
Kedua-dua penyakit ini mengakibatkan penurunan
berat badan secara mendadak yang bukan saja menjejaskan tulang, tetapi
kesihatan anda secara keseluruhannya.
Apabila anda mempunyai status berat badan yang
rendah, penghasilan hormon anda juga akan terjejas.
Kekurangan estrogen, sejenis hormon yang
melindungi tulang, boleh menyebabkan anda kehilangan jisim tulang dan
mengganggu kitaran haid anda.
Bukan itu saja, anda juga akan turut mengalami
malnutrisi dan kekurangan kalsium.
Anda juga perlu mengurangkan pengambilan alkohol
dan merokok.
Pengambilan alkohol berlebihan boleh menjejaskan
sel tulang dan mengganggu penyerapan kalsium.
Dan walaupun tiada bukti kukuh tentang bagaimana
merokok boleh menjejaskan tulang, adalah baik jika anda berhenti kerana ia
boleh mengakibatkan pelbagai penyakit lain.
Pilihlah untuk menjalani hidup yang sihat dan menjaga tulang anda.
Ia bukan saja memberi manfaat di kemudian hari
tetapi juga menjadikan anda lebih sihat sekarang agar dapat melakukan apa juga
aktiviti yang anda gemari.
Artikel Tulang Sihat Sepanjang Hayat oleh
Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur ini disokong oleh geran
pendidikan daripada Fonterra Brands (Malaysia) Sdn Bhd dan Rottapharm Madaus.
Sumber: © Utusan Melayu (M) Bhd
Terima kasih sudi singgah, baca dan komen di blog Atul ;)